fb fb fb fb fb

Thailand, Kemboja setuju gencatan senjata serta-merta tanpa syarat

Mesyuarat Khas Thailand-Kemboja yang dipengerusikan Malaysia berlangsung di Kompleks Seri Perdana, hari ini / Foto Pejabat Perdana Menteri

PUTRAJAYA, 28 Julai – Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa sebarang syarat berkuat kuasa tengah malam ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesepakatan itu dicapai menerusi Mesyuarat Khas Thailand-Kemboja yang dipengerusikan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, di Kompleks Seri Perdana, hari ini.

Jelas beliau, ia langkah penting dalam usaha meredakan ketegangan di kawasan sempadan kedua-dua negara.

“Pertama, kedua-dua pihak bersetuju laksana gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat, berkuat kuasa 12 tengah malam ini, 28 Julai. Kedua, akan diadakan mesyuarat tidak rasmi antara Komander Wilayah Tentera Wilayah 1 dan 2 Thailand serta Wilayah 4 dan 5 Kemboja.

Sekiranya disepakati, akan disusuli mesyuarat bersama Atase Pertahanan yang dipengerusikan ASEAN,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan.

Mesyuarat khas selama hampir tiga jam itu turut bersetuju untuk mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) yang akan dipengerusikan oleh Kemboja pada 4 Ogos ini.

Mesyuarat berkenaan diadakan susulan insiden ketegangan yang berlaku di sempadan Thailand-Kemboja baru-baru ini.

Turut hadir, Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Edgard D Kagan dan Duta Besar China, Ouyang Yujing.

Kehadiran AS adalah selaku penganjur bersama, manakala China sebagai pemerhati.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN