fb fb fb fb fb

RMK13 diharap tambah baik penyaluran projek

Foto BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 28 Julai - Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) berharap sektor pembinaan diberi perhatian dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada 31 Julai ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presidennya, Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz berkata, antara yang perlu diberi perhatian adalah penyaluran projek secara lebih telus, peluang kepada kontraktor kecil dan sederhana, serta pelaksanaan dasar yang lebih berperingkat.

"Saya harap kerajaan akan membentangkan belanjawan atau peruntukan khusus bagi sektor pembinaan dengan lebih teliti dan berkesan. Saya yakin sektor ini akan diberi tumpuan.

"Bagaimanapun dari segi kaedah dan penyampaian, kerajaan perlu lebih serius dalam memastikan peringkat pelaksanaan berjalan lancar bagi mengelakkan sebarang bentuk ketirisan yang lebih besar," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Agung PKMM, di sini.

Mengulas lanjut beliau berkata, beberapa perubahan dasar secara mendadak melibatkan industri pembinaan dimohon agar diteliti semula.

Ini kerana situasi itu memberi tekanan kepada kontraktor, terutamanya bagi projek yang sedang berjalan.

Katanya, perubahan dasar secara mendadak tanpa perincian pelaksanaan, secara tidak langsung menyebabkan lonjakan kos yang tidak dapat ditampung kontraktor, sekali gus menjejaskan kelangsungan projek kerajaan yang sedang berjalan.

Ketika ini terdapat 138,000 kontraktor kelas G1 hingga G7 yang berdaftar di seluruh negara.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI