fb fb fb fb fb

Gencatan senjata AS-Huthi, Israel terus bedil Yaman

AS setuju gencatan dengan Huthi, Israel serang balas di Yaman.-Foto AFP

MUSCAT, 7 Mei - Amerika Syarikat dan kumpulan Huthi di Yaman mencapai persetujuan gencatan senjata bagi menjamin kebebasan pelayaran di Laut Merah, umum Oman selaku perantara.

Gencatan itu diumum selepas Presiden AS, Donald Trump mengesahkan penamatan serangan udara terhadap Huthi, susulan persetujuan kumpulan disokong Iran itu untuk menghentikan serangan ke atas kapal dagang antarabangsa.

Menteri Luar Oman, Badr Albusaidi berkata perjanjian itu termasuk jaminan kedua-dua pihak tidak lagi menyasarkan satu sama lain, dan mengekalkan aliran perdagangan global di Laut Merah.

Trump dalam satu kenyataan mengejut di White House berkata, Huthi telah "mengalah" selepas kempen serangan udara AS selama tujuh minggu yang menyebabkan 300 maut, berdasarkan angka kumpulan itu.

Sementara itu, Israel pula melancarkan siri serangan udara ke atas lapangan terbang antarabangsa Sanaa sehingga menyebabkan kemusnahan menyeluruh, termasuk memusnahkan tiga daripada tujuh pesawat milik Yemenia Airlines.

Serangan balas itu dilakukan selepas peluru berpandu Huthi mengenai Lapangan Terbang Ben Gurion di Tel Aviv.

Israel turut mengebom loji janakuasa dan kilang simen di sekitar Sanaa dan Hodeida, menyebabkan bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan.

Sekurang-kurangnya empat terbunuh termasuk seorang di lapangan terbang dan dua di loji tenaga, manakala lebih 30 lagi cedera.-AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN