GAZA, 7 Mei – Sekurang-kurangnya 17 penduduk Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas sebuah sekolah kendalian Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) yang menempatkan pelarian di kem pelarian Bureij.
Menurut petugas perubatan, serangan berasingan oleh tentera udara Israel di beberapa lokasi lain turut meragut sekurang-kurangnya 30 nyawa, termasuk kanak-kanak dan wanita, manakala ramai lagi cedera.
Antara kawasan yang menjadi sasaran termasuk Deir al-Balah, Khan Younis, Beit Hanoun, Beit Lahia dan Nuseirat — melibatkan serangan udara, tembakan helikopter dan bedilan meriam ke atas kediaman dan kem pelarian.
Di Khan Younis, seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan terbunuh selepas khemah pelarian yang didiaminya dibedil, sementara dua lagi maut dalam serangan berasingan di kawasan Al-Fukhari dan Qizan Abu Rashwan.
Serangan di Nuseirat pula mengorbankan dua mangsa, termasuk seorang wanita. Di utara Gaza, dua orang terbunuh dalam serangan ke atas Beit Hanoun.
Manakala dua lagi terkorban di Beit Lahia dalam dua serangan berasingan.
Sementara itu, dua individu dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami dalam serangan terdahulu.
Tentera Israel juga dilaporkan membedil sebuah rumah di Abasan al-Kabira, timur Khan Younis, namun jumlah korban masih belum dikenal pasti.
Setakat ini, lebih 52,600 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terkorban sejak serangan berterusan Israel di Gaza bermula Oktober 2023.-REUTERS