DOHA, 7 Mei – Qatar meneruskan rundingan gencatan senjata di Gaza walaupun Israel meluluskan pelan serangan besar-besaran dan Hamas menarik diri daripada rundingan.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari berkata, pihaknya masih berhubung secara berterusan dengan semua pihak walaupun berdepan halangan besar, termasuk krisis kemanusiaan yang semakin buruk di Gaza.
Sementara itu, kabinet keselamatan Israel meluluskan rancangan ketenteraan untuk “menawan dan mengekalkan” wilayah Gaza, dengan satu tempoh singkat dibuka bagi perjanjian pertukaran tebusan bersempena lawatan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, minggu depan.
Namun Hamas menolak sebarang rundingan lanjut, sambil mendesak masyarakat antarabangsa menghentikan “perang kebuluran” Israel terhadap Gaza.
Sejak 2 Mac, Gaza berada di bawah sekatan penuh Israel, manakala serangan ketenteraan disambung semula pada 18 Mac selepas dua bulan gencatan senjata.
Qatar turut mengecam tindakan Israel yang didakwa memperalatkan bantuan kemanusiaan sebagai senjata politik. “Bantuan tidak seharusnya dijadikan bahan tawar-menawar,” tegas Ansari.
Pertubuhan Bangsa Bersatu dan agensi kemanusiaan terus memberi amaran mengenai kebuluran dan bencana kemanusiaan di Gaza akibat sekatan berterusan.-AFP