BEIJING, 23 Januari- Gempa bumi berukuran 7.0 magnitud menggegarkan sempadan China-Kyrgyzstan pada 2.00 pagi, waktu tempatan.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) memaklumkan gempa itu berlaku pada kedalaman 13 kilometer di barat bandar Aksu, wilayah Xinjiang, China.
Pusat gempa berada di Daerah Wushi, lapor Xinhua.
Laporan awal, tiada kematian dan kerosakan di kawasan terjejas gempa. Bagaimanapun, Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat memberi amaran kemungkinan kerosakan besar boleh berlaku.
Gegaran kuat dirasai. Gempa susulan turut direkodkan pada kekuatan 5.5, 5.1 dan 5 skala Richter. Saluran TV tempatan turut melaporkan gegaran kuat dirasai sehingga ke ibu negara India, New Delhi yang terletak, kira-kira 1,400 kilometer.
Seorang penduduk memberitahu agensi berita Xinhua, bahawa orang ramai bergegas keluar untuk menyelamatkan diri, walaupun suhu terlalu sejuk pada awal pagi tadi.
Menurut seorang wartawan AFP, orang ramai juga meninggalkan rumah untuk mencari perlindungan di ibu kota Bishkek, Kyrgyzstan, selepas gempa itu yang menyebabkan dinding bergegar dan pergerakan perabot.
Pihak berkuasa di Kazakhstan juga melaporkan gegaran dan tiada kematian atau kemusnahan besar disahkan setakat ini. Rakaman yang disiarkan di media sosial dan oleh saluran berita tempatan menunjukkan orang ramai keluar mendapatkan perlindungan di Almaty, bandar terbesar di Kazakhstan.
Insiden gempa ini berlaku selepas tanah runtuh yang menyebabkan berpuluh-puluh orang tertimbus dan sekurang-kurangnya lapan orang terkorban di barat daya China.
Manakala, gempa bumi pada Disember lalu, di barat laut negara itu mengorbankan 148 orang dan menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal di wilayah Gansu. Suhu di bawah sifar menjadikan operasi menyelamat lebih mencabar
Gempa itu adalah yang paling dahsyat di China sejak 2014, yang merekodkan lebih 600 orang terbunuh di wilayah Yunnan.-AFP