fb fb fb fb fb

Aktivis keamanan lancar kempen 'gencatan senjata' semasa pemilihan calon pilihan raya presiden

Penyokong pro-Palestin di Park City, Utah/AFP

TILTON, 23 Januari- Aktivis keamanan menggesa pengundi Amerika Syarikat (AS) mempertimbangkan pemilihan calon untuk pilihan raya presiden pada November depan.

Kumpulan itu melancarkan kempen menulis perkataan 'gencatan senjata' pada kertas undi sebagai simbolik protes terhadap pengurusan Joe Biden berhubung konflik Israel-Hamas.

"Vote Ceasefire", sebuah pakatan antiperang tempatan berkata, rakyat Amerika boleh menyuarakan kemarahan terhadap Presiden Demokrat, Joe Biden berikutan pembunuhan orang awam di Gaza.

Kempen kertas undi itu bertujuan memberi tekanan kepada White House untuk memberi perhatian kepada isu keganasan Israel di Gaza.

Hari ini, pengundi di New Hampshire bakal memilih calon pilihan mereka sama ada dalam pencalonan Demokrat atau Republikan.

“Sejak tiga bulan lalu, ketika dunia melihat perang di Gaza terus bertambah buruk, pentadbiran Biden telah menolak semua tuntutan untuk menggesa gencatan senjata dan menamatkan sokongan AS untuk Israel,” kempen itu disiarkan menerusi platform X.

"Jadi, kami akan meneruskan perjuangan kami ke tempat yang paling diminati Demokrat iaitu pilihan raya. Walaupun Joe Biden hampir pasti akan memenangi pencalonan Demokrat pada akhir tahun ini, dia mesti tahu bahawa jalan untuk ke sana akan menjadi panjang dan sukar jika dia enggan mendengar suara pengundinya", katanya.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, konflik Palestin-Israel sejak oktober lalu menyebabkan lebih 25,000 orang terkorban di Gaza dengan kira-kira 70 peratus daripada mangsa adalah wanita, kanak-kanak dan remaja.-AFP

ROSLINA BINTI DIN