fb fb fb fb fb

AS, Britain lancar serangan bersama ke atas Houthi di Yaman

Foto AFP

WASHINGTON, 23 Januari- Amerika Syarikat dan Britain melancarkan serangan terbaharu ke atas kumpulan Houthi di Yaman.

Washington dan London dalam satu kenyataan bersama berkata serangan itu menyasarkan lapan kedudukan kumpulan Houthi sebagai tindak balas kepada serangan berterusan Houthi terhadap kapal yang berkaitan dengan Israel di Laut Merah.

"Serangan tepat ini bertujuan untuk mengganggu dan mengurangkan keupayaan Houthi yang mengancam perdagangan antarabangsa dan nyawa pelaut yang tidak bersalah," kata kenyataan itu.

Komando Pusat AS berkata dalam satu kenyataan berasingan bahawa sasaran serangan termasuk sistem peluru berpandu dan pelancar, sistem pertahanan udara, radar, dan kemudahan penyimpanan senjata.

Tentera Amerika dan Britain melakukan serangan pertama terhadap kumpulan Houthi itu pada awal bulan ini. Amerika Syarikat telah melancarkan serangan udara seterusnya terhadap peluru berpandu yang menurut Washington menimbulkan ancaman kepada kapal awam dan tentera.

Dalam pada itu, Houthi telah berikrar untuk meneruskan serangan sekali gus meningkatkan krisis di Asia barat, yang dikaitkan dengan konflik Israel-Hamas dan menimbulkan ketegangan di seluruh rantau itu serta kebimbangan konflik yang lebih meluas, secara langsung turut melibatkan Iran.

Kumpulan Houthi mengulangi ikrar akan bertindak balas terhadap sebarang serangan dan terus menghalang kapal Israel daripada menyeberangi Laut Merah dan Teluk Aden sehingga tamatnya perang di Gaza.

Sementara itu, agensi berita Saba melaporkan tentera pakatan melancarkan serangan di ibu kota Sanaa dan beberapa kawasan lain di Yaman.

Semalam, Houthi mendakwa berjaya membedil sebuah kapal kargo tentera Amerika di luar pantai Yaman. Bagaimanapun, sumber Pentagon menafikan dakwaan terbabit.-AFP

ROSLINA BINTI DIN