BEIJING, 23 Januari- Pasukan penyelamat bertungkus-lumus mencari berpuluh-puluh mangsa yang masih terperangkap dalam kejadian tanah runtuh yang melanda wilayah Yunnan, barat daya China.
kira-kira 18 rumah tertimbus dalam kejadian itu dan 48 orang dilaporkan maut, manakala 200 orang terpaksa dipindahkan segera dari kawasan itu.
Agensi berita Xinhua melaporkan pasukan penyelamat sedang begelut dengan masa untuk mencari mangsa yang masih hilang, selepas semalaman suhu di bawah sifar.
Seramai 200 anggota penyelamat dikerah ke lokasi kejadian.
Lokasi kejadian juga dilitupi salji tebal dan penyelamat menggunakan semua jenis peralatan untuk mencari mangsa yang terselamat.
"Usaha mencari dan menyelamat berterusan sepanjang malam," kata anggota bomba Li Shenglong kepada Xinhua.
Pengarah Sumber Asli dan Biro Perancangan Zhaotong, Wu Junyao memberitahu agensi itu bahawa bencana itu disebabkan berlakunya runtuhan di kawasan tebing curam di atas cerun.
"Penyelamat sedang menggali runtuhan "100 meter lebar, 60 meter tinggi, dengan ketebalan purata sekitar 6 meter", katanya kepada Xinhua.
Sementara itu, CCTV juga menyiarkan rakaman petugas penyelamat yang terlibat dalam usaha mencari mangsa yang terselamat. Penduduk tempatan berhimpit-himpit memanaskan diri di sekeliling api di pusat perlindungan.
Orang ramai dari kawasan berhampiran juga telah datang untuk memberi bantuan.
"Kampung kami berdekatan," kata Hong Jie, 38, kepada Xinhua.
"Fokus utama kami ialah mengagihkan bekalan, memasak, dan menghantar makanan kepada mereka yang memerlukan", katanya.
Sementara itu, Presiden China Xi Jinping telah mengarahkan usaha menyelamat secara menyeluruh.
Bagaimanapun, setakat ini, tiada penjelasan rasmi mengenai punca kejadian.
Tanah runtuh adalah kejadian biasa di Yunnan, kawasan terpencil di China yang bergunung curam bertembung dengan banjaran Himalaya.
China mengalami rentetan bencana alam sejak beberapa bulan kebelakangan ini, berikutan cuaca ekstrem.
Lebih 20 orang dilaporkan maut selepas hujan lebat yang menyebabkan tanah runtuh berhampiran bandar utara Xi'an dalam kejadian pada Ogos tahun lalu.-AFP