fb fb fb fb fb

50 Penduduk Palestin terkorban dalam serangan Israel di Hospital Nasser

Foto AFP

GAZA, 22 Januari- Sekurang-kurangnya 50 rakyat Palestin terkorban dalam pengeboman berterusan Israel ke atas Hospital Nasser.

Memetik laporan agensi berita Palestin, WAFA, tentera Israel melancarkan serangan terhadap hospital dan pusat perlindungan di barat Khan Yunis pada waktu subuh serta bertindak mengepung Hospital Nasser dan Al-Amal.

Pasukan pendudukan Israel juga menyerang Hospital Al-Khair, barat Khan Yunis dan menahan kakitangan perubatan, pesakit yang cedera.

Selain itu, seramai 40 orang yang terbunuh dikebumikan dalam kubur besar di perkarangan Kompleks Perubatan Nasser di Khan Yunis.

Sementara itu, sekurang-kurangnya tujuh orang terkorban dalam serangan Israel ke atas bandar Khan Yunis, selatan Gaza.

Di utara Gaza, dua rakyat Palestin terbunuh dan yang lain cedera selepas tentera pendudukan Israel menyasarkan perhimpunan rakyat di kawasan kejiranan Al-Zaytoun, manakala seorang maut serta tiga lagi cedera selepas serangan di kawasan Tal al-Zaatar di Kem Pelarian Jabalia.

Sehingga kini, lebih 25,000 penduduk Palestin terkorban dan 63,000 mengalami kecederaan yang majoritinya adalah wanita dan kanak-kanak, selain beribu-ribu orang dilaporkan hilang.

ROSLINA BINTI DIN