fb fb fb fb fb

Gempa bumi Maghribi, bangunan bersejarah antara yang rosak

(Foto REUTERS)

MAGHRIBI, 10 September- Bangunan bersejarah dan jalan raya di pusat bandar Marrakesh mengalami kerosakan teruk dalam gempa bumi yang melanda Maghribi Jumaat lalu.

Bangunan purba termasuk masjid terkenal sebahagiannya runtuh dan tertimbus dalam runtuhan.

Marrakesh diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).

Ia dibina pada abad ke-11 dan dijadikan sebagai pusat politik, ekonomi dan budaya di Maghribi, sekali gus mempunyai pelbagai tapak bersejarah.

Satu delegasi dari UNESCO telah tiba di Marrakesh pada Sabtu untuk membantu kerja-kerja membaik pulih bangunan bersejarah yang rosak.

Menurut seorang pelancong, Mahmoud Gourani, kejadian tersebut berlaku pada lewat malam.

"Kami baru tiba di Marrakesh. Kami datang dari Switzerland dan masa itu sekitar pukul 11.00 malam. Kami menyedari bangunan didiami bergegar dan menyedari bahawa ia adalah gempa bumi. Bangunan berhampiran kami runtuh dan kami sempat menyelamatkan diri dengan berlari ke kawasan lapang," katanya kepada REUTERS.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri Maghribi melaporkan seramai 2,012 terkorban, manakala lebih 2,000 yang lain cedera berikutan insiden terbabit.

Pusat gempa tersebut adalah berhampiran bandar Ighil di wilayah Al Haouz, kira-kira 70 kilometer barat daya Marrakesh. - REUTERS


(Foto REUTERS)

Berita Berkaitan:
Gempa bumi di Maghribi, lebih 1,000 orang kritikal
Tiada rakyat Malaysia terjejas gempa bumi di Maghribi
Algeria buka ruang udara untuk bantuan kemanusiaan ke Maghribi

Media Baharu