SYDNEY, 15 November- Gempa bumi berukuran 6.6 pada Skala Richter melanda kawasan di pantai timur Papua New Guinea.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa berlaku pada kedalaman 51 kilometer (km) dan berpusat 123.2 km dari bandar Kokopo.
Pusat Bencana Kebangsaan Papua New Guinea memaklumkan pihaknya sedang menilai kerosakan yang berlaku akibat gempa tersebut.
Seorang penyambut tetamu hotel di Kokopo, Vernon Gash, memberitahu AFP gempa bumi itu "agak kuat" dan berlarutan kurang dari seminit.
"Kami sudah biasa, ia berlaku sepanjang masa," katanya sambil menambah tiada kerosakan berlaku di hotel tersebut.
Tiada amaran tsunami dikeluarkan.- AFP