BEIRUT, 15 November- Serangan udara Israel meranapkan sebuah bangunan berhampiran persimpangan Tayouneh, lalu lintas paling sibuk di Beirut.
Serangan pada Jumaat itu menggegarkan ibu kota Lubnan ketika Israel melakukan pengeboman di kawasan bandar itu.
Israel telah meningkatkan serangan udara terhadap pinggir bandar selatan Beirut, tindakan itu dilakukan ketika genjatan senjata sedang dilakukan.
Duta Amerika Syarikat ke Lubnan pada Khamis mengemukakan draf mengenai cadangan gencatan senjata kepada speaker parlimen Lubnan Nabih Berri.
Draf itu adalah cadangan bertulis pertama Washington untuk menghentikan pertempuran antara Israel dan Hizbullah dalam tempoh sekurang-kurangnya beberapa minggu.
"Ia adalah draf untuk mendapatkan pemerhatian dari pihak Lubnan," salah seorang sumber memberitahu Reuters.
Ketika ditanya mengenai cadangan itu, jurucakap Kedutaan Amerika Syarikat di Beirut berkata, "usaha untuk mencapai perjanjian diplomatik sedang dilakukan."
Sementara itu seorang diplomat kanan yang tidak mahu dikenali berkata, lebih banyak masa diperlukan untuk menyelesaikan gencatan senjata dan berharap ia dapat dicapai.
Diplomasi itu menandakan percubaan terakhir pentadbiran Amerika Syarikat yang akan keluar untuk mendapatkan gencatan senjata Lubnan selain berusaha untuk menamatkan perang di Gaza.
Media Lubnan dan Iran melaporkan, Pegawai Kanan Iran Ali Larijani, seorang penasihat kepada Pemimpin Tertinggi Iran, bertemu Berri dan Perdana Menteri sementara Lubnan Najib Mikati di Beirut pada hari Jumaat.
Menjelang serangan udara terbaharu, tentera Israel mengeluarkan amaran di media sosial mengenal pasti bangunan di pinggir selatan dan mengarahkan penduduk untuk berpindah.
Serangan oleh rejim Zionis Israel itu telah memaksa lebih sejuta penduduk meninggalkan rumah mereka di Lubnan selain mencetuskan krisis kemanusiaan.- REUTERS