fb fb fb fb fb

Gempa bumi: Sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh di Syria

(Foto AFP)

BEIRUT, 6 Februari- Sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh di Syria akibat bangunan runtuh selepas gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda tenggara Turkiye.

Media kerajaan berkata seramai 42 orang terbunuh di bahagian yang dikuasai kerajaan di Syria, manakala sebuah hospital tempatan memberitahu AFP bahawa lapan orang yang lain terbunuh di kawasan utara yang dikawal oleh kumpulan pro-Turki.

“Empat puluh dua kematian dan 200 orang mengalami kecederaan telah dilaporkan di Aleppo, Hama dan Latakia akibat gempa bumi dalam maklumat awal,” kata agensi berita negara Syrian Arab News Agency (SANA) memetik seorang pegawai kementerian kesihatan.

Pasukan penyelamat giat mencari mangsa yang terselamat di bawah runtuhan bangunan yang runtuh sejak gempa bumi melanda Syria pada waktu subuh.

Wartawan AFP di utara Syria berkata, penduduk yang ketakutan berlari keluar dari rumah mereka selepas berlakunya gegaran.


(Pasukan penyelamat Syria sedang menyelamatkan seorang lelaki yang cedera dari
runtuhan bangunan  akibat gempa bumi, di bandar sempadan Azaz di utara wilayah Aleppo/AFP)

Syrian Arab News Agency (SANA) telah melaporkan sebelum ini bahawa gempa bumi dirasai dari pantai barat Latakia ke Damsyik.

Ketua Pusat Gempa Nasional, Raed Ahmed berkata gempa bumi tersebut adalah yang paling kuat sejak Pusat Gempa Nasional diwujudkan pada 1995.

Di kawasan utara Syria, sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh "di kawasan Azaz dan al-Bab," kata sumber di hospital tempatan kepada AFP, sambil menambah bahawa jumlah itu mungkin meningkat. Usaha mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan

Di wilayah Idlib yang dikuasai pemberontak bersempadan dengan Turki, pertahanan awam berkata terdapat "berpuluh-puluh mangsa dan ratusan orang cedera dan tersepit di bawah runtuhan".

"Pasukan kami berada dalam keadaan kecemasan untuk menyelamatkan mangsa yang terselamat," kata kumpulan penyelamat White Helmets di Twitter.

Gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda berhampiran Gaziantep di tenggara Turkiye pada hari Isnin pada 04:17 pagi waktu tempatan (0117 GMT) pada kedalaman kira-kira 17.9 kilometer (11 batu), kata Kajian Geologi AS.

Gegaran itu dirasai di Lubnan, Syria dan Cyprus, menurut wartawan AFP.-AFP

Media Baharu