fb fb fb fb fb

Gempa bumi berukuran 6.3 magnitud landa Selatan Turkiye

(FOTO REUTERS)

ANTAKYA, 21 Februari-Gempa bumi berukuran 6.3 magnitud dilaporkan melanda Selatan Turkiye.

Agensi Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD) dalam satu kenyataan menyatakan gegaran tersebut berlaku pada pukul 8.04 waktu tempatan.

Para saksi memberitahu wakil Agensi Reuters, gegaran menyebabkan beberapa bangunan di Antakya mengalami kerosakan.

Pihak berkuasa Turkiye melaporkan lebih 6,000 gegaran sejak seminggu lalu.

Manakala pasukan media BBC yang berada di daerah tersebut menyatakan gegaran yang berlaku adalah lebih kuat berbanding sebelum ini.

Gegaran sama turut dirasai di Syria, Mesir dan Lubnan menurut kata para saksi. Namun tidak dapat dipastikan sama ada terdapat kemusnahan atau korban disebabkan gempa terbaharu ini.

Salah seorang penduduk tempatan, Muna Al Omar memberitahu Reuters, dia berada di dataran di Antakya ketika kejadian.

"Saya ingat bumi akan terbelah dua", katanya sambil menangis dan ditemani anak perempuannya berusia tujuh tahun.

Wartawan AFP melaporkan suasana panik menyelubungi Antakya yang sebelum ini terjejas dengan gempa bumi yang berlaku sebelum ini.

Gegaran terbaharu ini menyebabkan kepulan debu berterbangan memenuhi bandar berkenaan.

Wartawan AFP turut melaporkan sisa bangunan dan tembok turut runtuh.

Beberapa orang awam yang cedera dilihat meminta bantuan dan pertolongan.

Salah seorang saksi, Ali Mazlum berkata dia sedang melakukan pencarian mayat anggota ahli keluarganya yang terperangkap di celah-celah runtuhan bangunan akibat gempa sebelum ini ketika kejadian.

"kami tidak tahu apa yang ingin dilakukan. kami berpegangan sesama sendiri. Dinding mulai runtuh. Seolah-olah bumi terbelah untuk menelan kami" ujarnya.

Antakya, ibu negeri daerah Hatay antara lokasi terjejas teruk akibat gempa yang berlaku beberapa kali pada 6 Februari lalu.

Agensi Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD) menerusi ciapan di Twitter menggesa agar penduduk menjauhi kawasan pantai sebagai langkah berjaga-jaga terhadap risiko kenaikan paras laut meskipun amaran tersebut telah ditarik balik-BBC.com


(Sebahagian daripada pasukan perubatan berlindung di Khemah-khemah selepas
gegaran terbaharu berukuran 6.3 magnitud/Foto REUTERS)

Media Baharu