ISTANBUL, 2 Oktober - Gempa bumi bermagnitud 5.0 melanda Istanbul, bandar terbesar Turkiye, petang Khamis, sekali gus menggegarkan bangunan dan menyebabkan sebahagian penduduk bergegas keluar ke jalanan.
Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) memaklumkan gempa berlaku pada pukul 2.55 petang waktu tempatan di Laut Marmara, berhampiran bandar pesisir Marmaraereglisi, kawasan yang terletak di sepanjang garisan sesar yang berisiko tinggi.
Pejabat Gabenor Istanbul dalam kenyataan di platform X mengesahkan tiada laporan kerosakan serius setakat ini dan pasukan pemantau lapangan telah digerakkan bagi menjalankan pemeriksaan.
Terdahulu, pada April lalu, lebih 150 orang cedera selepas terjun dari bangunan ketika gegaran bermagnitud 6.2 menggegarkan Istanbul, yang disifatkan antara gempa terkuat di bandar itu sejak beberapa tahun.
Dua tahun lalu, Turkiye turut berdepan gempa bumi paling dahsyat dalam sejarah moden negara itu apabila gegaran bermagnitud 7.8 pada Februari 2023 mengorbankan lebih 55,000 nyawa serta mencederakan lebih 107,000 orang di selatan Turkiye dan utara Syria.-REUTERS