ISTANBUL, 2 Oktober- Negara Balkan, Serbia menerima laporan ancaman bom di lebih 800 sekolah, menurut kenyataan pegawai pada Khamis dengan semua sekolah terlibat dilaporkan dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Sehingga 9.30 pagi, dilaporkan terdapat bom diletakkan di sejumlah 807 sekolah rendah dan menengah," menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri.
Polis dari jabatan wilayah berkaitan, termasuk unit jenayah dan teknikal dari ibu negara Belgrade dikerahkan ke lokasi, menurut kementerian itu.
Menurut media tempatan, pelajar dan kakitangan diarahkan pulang ke rumah dan sesi pembelajaran digantung buat sementara waktu.
Kementerian itu turut memaklumkan yang pegawai dari Perkhidmatan Jenayah Teknologi Tinggi akan bekerjasama dengan rakan antarabangsa untuk mengesan penghantar ancaman tersebut. -BERNAMA-ANADOLU