ISTANBUL, 2 Oktober- Tentera laut Israel menyerang flotila bantuan antarabangsa yang menuju ke Semenanjung Gaza yang dikepung dan menahan sekurang-kurangnya 317 aktivis di atas kapal, menurut penganjur pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi.
Menurut penjejak rasmi flotila, 21 kapal telah diserang tentera laut Israel, 19 lagi dipercayai turut diserang, manakala empat kapal masih dalam pelayaran menuju Gaza.
Aktivis yang ditahan dibawa ke Pelabuhan Ashdod di Israel sebelum dihantar pulang ke Eropah.
Global Sumud Flotilla berkata tentera Israel mengepung kapal-kapal berkenaan ketika ia belayar ke arah Gaza untuk mencabar sekatan Israel yang berlarutan sejak bertahun-tahun. Aktivis turut melaporkan gangguan isyarat dan komunikasi terputus di kebanyakan bot.
Beberapa aktivis sempat memuat naik video di media sosial yang menunjukkan bot tentera Israel menghampiri konvoi dan mengarahkan mereka menukar haluan.
Penganjur menuduh Israel menggunakan kekerasan, termasuk merempuh sebuah kapal, menyembur meriam air dan menaiki kapal secara paksa, serta “melayan tahanan yang aman dari 50 negara di seluruh dunia dengan kejam.”
Flotila itu diserang ketika berada kurang 80 batu nautika (148 kilometer) dari Gaza. Ia membawa bantuan kemanusiaan dan bekalan perubatan, selepas berlayar sejak akhir Ogos dan dijangka tiba di pantai Gaza pada Khamis pagi.
Ini merupakan kali pertama dalam beberapa tahun, lebih 50 kapal belayar bersama ke arah Gaza, dengan membawa 532 penyokong awam dari lebih 45 negara ke wilayah berpenduduk 2.4 juta orang Palestin yang berada di bawah sekatan Israel sejak kira-kira 18 tahun lalu.
Israel mengetatkan sekatan itu pada 2 Mac lalu dengan menutup semua lintasan sempadan serta menghalang kemasukan makanan, ubat-ubatan dan bantuan, sekali gus mendorong Gaza ke ambang kebuluran walaupun trak bantuan berkumpul di sempadannya.
Sejak Oktober 2023, tentera Israel telah membunuh lebih 66,100 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, melalui pengeboman berterusan yang menjadikan enklaf itu tidak lagi sesuai didiami, selain menyebabkan kebuluran dan penularan penyakit. -BERNAMA-ANADOLU