fb fb fb fb fb

Petugas perubatan MSF antara 13 terbunuh di Gaza

Penduduk Palestin menangisi jenazah ahli keluarga yang maut akibat serangan udara Israel di Deir al-Balah. Insiden berlaku di Hospital Al-Aqsa Martyrs di Gaza Tengah hari ini/AFP

NUSEIRAT, 2 Oktober- Sekurang-kurangnya 13 penduduk Palestin terbunuh dalam siri serangan udara Israel di Gaza hari ini, menurut agensi pertahanan awam wilayah itu.

Jurucakap pertahanan awam, Mahmud Bassal berkata, 10 mangsa maut dalam beberapa serangan di kawasan Gaza Tengah, dua lagi terbunuh di selatan, manakala seorang kanak-kanak dilaporkan terkorban dalam serangan di Gaza City.

Hospital Al-Aqsa Martyrs di Deir el-Balah pula mengesahkan menerima sembilan jenazah daripada beberapa serangan berasingan.

Antara mangsa ialah Omar al-Hayek, 26 tahun, seorang kakitangan pertubuhan perubatan antarabangsa Doctors Without Borders (MSF).

Beliau dilaporkan terbunuh dalam serangan ke atas sekumpulan orang awam di Deir el-Balah.

"Kami dimaklumkan beberapa kakitangan kami cedera dan dibawa ke Hospital Al-Aqsa Martyrs," kata Ketua Pasukan Perubatan MSF di Gaza, Karin Huster.

"Apabila kami tiba, kami mendapati salah seorang rakan sekerja kami telah terbunuh dan empat lagi cedera. Cukup – sama ada disengajakan atau tidak, pembunuhan sebegini tidak boleh diterima," katanya kepada AFP.

Hospital Nasser turut mengesahkan dua lagi kematian di Khan Yunis, selatan Gaza.

Serangan ketenteraan Israel yang berlarutan sejak 2023 telah meragut lebih 66,000 nyawa rakyat Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB). -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA