FOTO AFP
JEPUN, 4 Januari- Gempa bumi berukuran 5.7 pada skala richter melanda pulau terpencil di lautan Pasifik pada awal pagi ini, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan.
Gempa dasar laut itu berlaku di kedalaman 43.4 kilometer pada pukul 6:08 minit pagi waktu tempatan berhampiran Pulau Bonin atau penduduk memanggilnya sebagai Pulau Ogasawara, menurut kenyataan Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Pulau bawah seliaan Tokyo itu terletak kira-kira 1,000 kilometer dari bandaraya tersebut.
Sementara itu Agensi Meteorologi Jepun melaporkan, gempa itu berlaku pada kekuatan 6.3 skala richter dan tidak menimbulkan ancaman tsunami.
Pihak berkuasa tempatan melaporkan kepada stesen penyiar nasional, NHK bahawa tiada laporan kerosakan atau kecederaan serius diterima manakala bekalan elektrik dan air juga tidak terjejas.
Pihak berkuasa perbandaran dilaporkan masih menilai kesan gempa.
Memetik laporan NHK, ada penduduk mendakwa pinggan dan gelas mereka jatuh dari meja, kesan gegeran gempa. - AFP