fb fb fb fb fb

Gaza terus rekod kemusnahan

Bangunan tambahan Gereja Ortodoks Yunani St Porphyrios (Porphyrius) abad ke-12 musnah/ AFP

PARIS, 24 September- Peperangan hampir setahun di Gaza antara Israel dan Hamas telah mengorbankan puluhan ribu orang, dan agensi bantuan menyifatkan ia sebagai impak kemanusiaan yang dahsyat.

Tetapi skala pengeboman dan keganasan pertempuran juga telah mencacatkan landskap bandar wilayah Palestin yang berpenduduk padat.

AFP melihat kesan perang di Gaza berikutan serangan kejam rejim zionis.

Sebelum perang, kira-kira 2.4 juta penduduk tinggal di kawasan seluas 365 kilometer persegi dan Gaza merupakan salah satu kawasan yang mempunyai penduduk paling padat di dunia.

Namun setakat 13 September tahun ini, hampir 59 peratus bangunan di Gaza telah rosak dan musnah.

Menurut imejan satelit yang dianalisis oleh penyelidik Amerika Syariakt Corey Scher dan Jamon Van Den Hoek ia dianggarkan hampir 169,000 bangunan rosak dan musnah.

Kerosakan paling teruk berlaku dalam dua atau tiga bulan pertama selepas serangan Israel pada 7 Oktober tahun lalu yang mencetuskan perang, kata para penyelidik.

Menurut data yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Gaza sejak 7 Oktober, sekurang-kurangnya 41,455 rakyat Palestin yang kebanyakannya orang awam telah terbunuh.

Angka-angka itu diakui boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Sebelum perang, bandar Gaza di utara wilayah itu adalah rumah kepada kira-kira 600,000 penduduk. Hampir tiga perempat daripada bangunannya telah rosak dan musnah.

Di Rafah, bandar paling selatan Gaza di sepanjang sempadan dengan Mesir, tentera Israel melancarkan serangan darat pada awal Mei.

Walaupun keadaan perang tidak sama seperti bandar Gaza, namun fasad dan bangunan yang hancur menjadi bukti perang.

Kumpulan hak asasi manusia Amnesty International berkata bahawa 90 peratus daripada bangunan sepanjang 58 kilometer persegi wilayah sempadan Gaza dengan Israel telah "musnah dan rosak teruk".

Semasa perang, hospital Gaza berulang kali diserang oleh Israel, yang menuduh Hamas menggunakan hospital berkenaan untuk tujuan ketenteraan.

Hospital terbesar di wilayah itu, Al-Shifa di bandar Gaza, menjadi sasaran dalam dua serangan oleh tentera Israel, yang pertama pada November, yang kedua pada Mac.

Sementara itu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, serangan kedua menyebabkan hospital itu menjadi "cengkerang kosong" yang berselerak dengan mayat manusia.

Menurut WHO setakat Ogos hanya 16 daripada 36 hospital di Gaza, atau 44 peratus, sebahagiannya berfungsi, menurut WHO.

Data dari Pusat Satelit PBB (UNOSAT) dan pangkalan data geografi OpenStreetMap juga menunjukkan bahawa lebih 60 peratus masjid di Gaza telah rosak dan musnah.

Sekolah-sekolah yang sebahagian besarnya dikendalikan oleh PBB di wilayah itu menjadi lokasi perlindungan.

Sehingga 6 Julai, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) berkata, kira-kira 477 sekolah rosak iaitu hampir 85 peratus daripada 564 sekolah di Gaza.

Dalam pada itu 68 peratus daripada tanah ladang Gaza telah rosak, atau 102 kilometer persegi. Itu termasuk 78 peratus tanah ladang utara Gaza dan 57 peratus tanah di Rafah.

Menurut analisis awal UNOSAT kira-kira 1,190 kilometer jalan raya telah musnah, 415 kilometer rosak teruk dan 1,440 kilometer rosak sederhana.

"Ia tidak dapat dibayangkan, tahap penderitaan di Gaza, tahap kematian dan kemusnahan tidak ada persamaan dalam semua yang saya saksikan sejak (menjadi) setiausaha agung," kata ketua PBB Antonio Guterres awal bulan ini.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI