fb fb fb fb fb

Bekas menteri Singapura mengaku salah tuduhan rasuah

S. Iswaran tiba di Mahkamah Tinggi di Singapura/ AFP

SINGAPURA, 24 September- Seorang bekas menteri Singapura mengaku bersalah atas tuduhan rasuah pada Selasa selepas dakwaan lebih berat digugurkan, lapor media tempatan.

Bekas Menteri Pengangkutan Singapura S. Iswaran berdepan dengan 35 pertuduhan kebanyakannya berkaitan rasuah.

Namun prosiding di Mahkamah Tinggi ditangguhkan dan pendakwa raya meneruskan dengan lima pertuduhan lebih ringan -- satu kerana menghalang keadilan dan empat berkaitan dengan penerimaan hadiah daripada dua ahli perniagaan, termasuk seorang hartawan.

Iswaran, 62, mengaku bersalah atas kesemua lima pertuduhan dan baki 30 lagi akan dipertimbangkan untuk menjatuhkan hukuman, lapor penyiar Singapura CNA dan laman berita The Straits Times.

"Saya mengaku bersalah," kata Iswaran selepas pertuduhan dibacakan.

Pendakwa raya memohon enam hingga tujuh bulan penjara digabungkan untuk tuduhan itu, lapor The Straits Times.

Bekas menteri berkenaan sedang menghadapi perbicaraan dan ia dilihat akan memberi kesan terhadap Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah sebelum pilihan raya umum yang dijangka pada November tahun depan.

Iswaran tiba di mahkamah menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna putih, enggan menjawab soalan dan hanya mengucapkan "selamat pagi" kepada pemberita yang berkumpul di luar mahkamah.

Iswaran meletak jawatan pada Januari selepas dimaklumkan secara rasmi mengenai tuduhan termasuk menerima hadiah bernilai lebih $300,000.

Dalam surat peletakan jawatan pada masa itu, beliau berkata akan membersihkan namanya di mahkamah.

Jika Iswaran didapati bersalah, pertuduhan menghalang keadilan membawa hukuman maksimum tujuh tahun penjara dan denda, manakala pertuduhan menerima hadiah bernilai dikenakan hukuman maksimum dua tahun penjara dan denda.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI