fb fb fb fb fb

Gaza kehabisan bekalan vaksin untuk kanak-kanak

FOTO AFP

GAZA CITY, 13 Disember- Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan bekalan vaksin untuk kanak-kanak di wilayah itu sudah kehabisan dan memberi amaran tentang kesan kesihatan yang besar.

Pihak berkenaan bagaimanapun tidak memberitahu nama atau jenis vaksin yang telah habis tersebut.

Sehubungan itu, Penyelaras Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk wilayah Palestin, Lynn Hastings berkata, Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) sedang meneliti isu berkenaan.

Ahad lalu, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus mengeluarkan amaran bahawa sistem kesihatan Gaza semakin runtuh yang kini berada paras 'lutut'.

Beliau berkata, hanya 14 daripada 36 hospital di Gaza masih berfungsi, namun dalam kemampuan separa dan bekalan semakin berkurangan.

“Risiko dijangka bertambah buruk dengan keadaan semakin merosot dan menghampiri keadaan musim sejuk,” katanya.

Pengeboman dan serangan darat oleh Israel selama 68 hari sejak 7 Oktober lalu telah membunuh lebih 18,400 penduduk Gaza kebanyakann wanita dan kanak-kanak. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA