TOKYO, 14 Disember- Pendakwa Raya Jepun akan melakukan siasatan jenayah kepada pentadbiran Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida terhadap parti pemerintah terbesar itu berhubung skandal kutipan dana. Perkara itu dilaporkan Nikkei pada Khamis sekali gus memberi tekanan berterusan kepada pentadbiran Fumio Kishida.
Menurut Kyodo News, pihak pendakwa raya akan menyoal berpuluh-puluh penggubal undang-undang atas dakwaan menerima kira-kira 500 juta yen ($3.50 juta). Angka itu secara keseluruhan merupakan hasil kutipan dana yang hilang daripada akaun rasmi parti.
Kishida mengumumkan akan menggantikan beberapa anggota kabinet dalam usaha untuk membendung kesan daripada skandal dalam Parti Liberal Demokratiknya, yang berpusat di sekitar puak Seiwa-kai yang sering dirujuk sebagai "puak Abe".
Perubahan itu, termasuk Ketua Setiausaha Kabinet Hirokazu Matsuno. Beliau merupakan seorang tokoh berkuasa yang menyelaraskan dasar merentas kerajaan bagi pihak Kishida belum dimuktamadkan.
Sementara itu, Perdana Menteri Jepun secara tidak rasmi meminta bekas Menteri Luar Yoshimasa Hayashi untuk menggantikan Matsuno.
Ketika ditanya mengenai kesediaannya sebagai jurucakap tertinggi kerajaan, Hayashi berkata, "saya ingin menunaikan tugas dalam situasi mencabar ini."- REUTERS