fb fb fb fb fb

Gaza: Ibu derita terpisah bayi kembar tiga sejak lahir

Kembar tiga: Najmeh, Najoua, dan Noor berusia setahun terpisah dengan ibu mereka, Hanane, sejak kelahiran pada Ogos tahun lalu/Foto AFP

BAITULMAQDIS, 28 Ogos - Wanita di Gaza terpaksa berpisah dengan anak-anak mereka.

Kepedihan yang dirasai oleh setiap ibu yang mengandung terutama setelah menunggu lama untuk hamil, menjadi lebih perit apabila terpaksa berpisah dengan anak-anak akibat konflik yang masih berlarutan di Gaza.

Inilah yang dialami oleh dua wanita di Gaza Hanane Bayouk, 26 tahun dan Heba Idris, 27 tahun.

Hanane melahirkan bayi kembar tiga di Baitulmaqdis kini berusia setahun.

Najoua, Nour, dan Najmeh dilahirkan pada 24 Ogos tahun lalu.

Pasangan kembar tiga itu hanya sempat bertemu dengan ibu mereka Hanane sekali sahaja sebelum berlakunya konflik pada 10 Oktober tahun lalu.

Hanane terpaksa kembali ke Gaza seorang diri kerana permit perjalanan miliknya telah tamat.

Hanane mendapat permit untuk keluar dari Gaza dan melahirkan anak-anaknya di Baitulmaqdis selepas menjalani prosedur rawatan persenyawaan in vitro (IVF) selama tujuh tahun.

Dia hanya sempat melihat anak-anaknya dalam inkubator selama lebih kurang satu setengah jam sebelum terpaksa kembali ke Gaza.

Hanane sepatutnya kembali ke Baitulmaqdis pada awal Oktober selepas ketiga-tiga anak perempuannya menghabiskan beberapa minggu dalam inkubator.

Namun konflik berlaku pada 7 Oktober menghalangnya untuk terus bertemu mereka.

Bagaimanapun, dua hari selepas dia memohon permit keluar pada 5 Oktober, terminal Erez—satu-satunya pintu masuk dari Gaza ke Israel—telah dimusnahkan dalam serangan oleh tentera Israel.

Kini dia tinggal di kem pelarian di selatan Gaza bersama tujuh ahli keluarga dalam satu khemah.

Hanane terpaksa meninggalkan rumahnya dan merasa tertekan kerana terpisah dari anak-anaknya selepas menunggu lama untuk hamil.

"Situasi ini membuat saya gila. Saya mengambil masa begitu lama untuk hamil, dan sekarang saya menangis sepanjang masa," katanya kepada AFP.

"Kadang-kadang, saya terfikir untuk membawa anak-anak perempuan saya pulang ke Gaza sebelum saya menutup mata kerana saya tidak pernah mencium mereka, tetapi kemudian saya cuba menenangkan diri dan berkata kepada diri sendiri lebih baik mereka selamat jauh dari konflik yang tiada kesudahan ini," tambahnya.

Seperti Hanane, Heba Idriss juga terperangkap dalam konflik dan serangan tanpa henti rejim Israel

Dia tidak dapat kembali ke Baitulmaqdis untuk mendapatkan anak perempuannya, Saida.

Saida dilahirkan pramatang di Maqased dua bulan sebelumnya (sebelum 7 Oktober 2023).

Wanita berusia 27 tahun itu berharap dapat membawa anak perempuannya pulang ke rumah mereka di Shujaiya, di utara Gaza.

Heba dan suaminya Saleh telah berpindah sembilan kali akibat serangan udara Israel atau arahan pemindahan.

"Saya mahu melihat anak perempuan saya, saya sangat menderita kerana terpisah darinya," katanya sambil menangis.

Suami Heba pula hanya dapat melepaskan kerinduan dengan melihat gambar anak mereka, Saida.

Hospital Maqased biasanya tidak akan mempunyai ruang untuk menjaga anak-anak Hanane dengan begitu lama.

Bilangan bayi di hospital itu menurun kerana sekatan Israel menyebabkan lebih ramai pesakit dari Tebing Barat tidak dapat menerima rawatan.

Meskipun dalam keadaan sukar dan kekurangan tenaga kerja, pekerja di hospital berusaha memastikan Hanane dapat berhubung dengan anak-anaknya melalui telefon.

"Setiap kali kami menamatkan panggilan, saya akan menangis. Saya takut anak-anak perempuan saya akan membesar tanpa mengenali saya," kata Hanane.

Serangan tanpa henti rejim zionis sejak 7 Oktober tahun lalu kini telah mengorbankan lebih 40, 476 rakyat Palestin di Gaza.

Pejabat hak asasi manusia PBB mengatakan kebanyakan yang terbunuh adalah golongan wanita dan kanak-kanak. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN