fb fb fb fb fb

24 orang hilang, banjir di Yaman

Foto fail AFP

DUBAI, 28 Ogos- Sekurang-kurangnya 24 orang hilang dalam kejadian banjir serta hujan lebat semalaman di Yaman.

Pihak berkuasa menerusi kenyataan berkata insiden tersebut turut memusnahkan kediaman penduduk.

Banjir di Al-Mahwit, sebuah wilayah di barat ibu kota Sanaa mencetuskan tanah runtuh dan melibatkan beberapa buah kediaman.

Tujuh rumah musnah di daerah Melhan wilayah itu, kata polis.

Pihak berkuasa masih belum melaporkan kematian. Namun imej yang tersebar di media sosial menunjukkan mayat berbalut selimut selepas banjir.

Menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), kawasan pergunungan barat Yaman terdedah kepada musim hujan lebat. Sejak akhir Julai, banjir kilat telah membunuh 60 orang dan menjejaskan 268,000 penduduk.

“Dalam beberapa bulan akan datang, peningkatan hujan diramalkan. Kawasan tanah tinggi tengah, kawasan pantai Laut Merah dan bahagian tanah tinggi di selatan dijangka menerima hujan yang tidak pernah berlaku sebelum ini iaitu melebihi 300 milimeter", kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia memberi amaran pada Isnin lalu.

Awal bulan ini, PBB memberitahu bahawa $4.9 juta diperlukan segera untuk meningkatkan tindak balas kecemasan terhadap cuaca ekstrem di Yaman yang dilanda konflik.

Perubahan iklim menyebabkan lebih kerap berlakunya hujan di tanah tinggi Yaman, yang kebanyakannya dikawal oleh kumpulan Huthi.-AFP

ROSLINA BINTI DIN