fb fb fb fb fb

Enam orang maut, serangan Rusia di timur Ukraine

Bangunan yang musnah di bandar Myrnohrad/ AFP

KIEV, 28 Ogos- Enam orang terbunuh dalam serangan tentera Moscow di wilayah timur Ukraine, Donetsk.

Pegawai Wilayah Vadym Filashkin menerusi media sosial berkata, serangan Rusia pada pagi Rabu membunuh empat orang dan memusnahkan sebuah rumah di Izmailivka.

Manakala, dua orang lagi terbunuh dalam serangan berasingan berhampiran Chasiv Yar yang merosakkan berpuluh-puluh rumah.

Wilayah perindustrian itu telah mengalami pertempuran paling dahsyat semasa pencerobohan Rusia. Donetsk adalah salah satu daripada empat wilayah Ukraine yang didakwa Rusia sebagai miliknya pada 2022.

Kiev menggesa penduduk di wilayah itu, yang sebahagiannya dikawal oleh Rusia sejak 2014, untuk berpindah selepas Kremlin menyerang Ukraine.

Pihak berkuasa wilayah baru-baru ini telah mengarahkan pemindahan penduduk berskala besar, selepas tentera Rusia menyasarkan hab logistik Pokrovsk, yang menempatkan kira-kira 60,000 orang.

Filashkin berkata, 2,718 orang, termasuk 392 kanak-kanak, telah dipindahkan dari kawasan barisan hadapan pada Selasa lalu.-AFP

ROSLINA BINTI DIN