NABLUS, 28 Ogos- Tentera Israel menyasarkan empat bandar di Tebing Barat yang diduduki pada hari Rabu dengan melancarkan operasi ketenteraan baharu.
Serangan terancang tentera Zionis di Jenin, Nablus, Tubas dan Tulkarem didakwa sebagai "operasi memerangi keganasan".
Operasi itu dilakukan dua hari selepas Israel berkata, ia melakukan serangan udara di Tebing Barat, yang dilaporkan oleh Pihak Berkuasa Palestin membunuh lima orang.
Sementara itu, menurut jurucakap Bulan Sabit Merah Palestin Ahmed Jibril, sekurang-kurangnya 10 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan tersebut.
Beliau berkata dua rakyat Palestin terbunuh di bandar Jenin, empat di kampung berhampiran, dan empat lagi di kem pelarian berhampiran bandar Tubas. Manakala, 15 orang mengalami kecederaan.
Sementara itu, menurut pengiraan AFP lebih 650 rakyat Palestin terbunuh di Tebing Barat sejak konflik Israel-Palestin pada Oktober tahun lalu.
Konflik Israel-Palestin telah meragut lebih 40,000 nyawa di Gaza serta kira-kira 2.4 juta penduduknya dipindahkan serta mencetuskan krisis kemanusiaan.- AFP