fb fb fb fb fb

Gaza: Hamas tuntut Israel berundur

Sebuah keluarga Palestin duduk di atas runtuhan rumah mereka sambil berbuka puasa di Jabalia, utara Semenanjung Gaza, pada 10 Mac 2025 / Foto AFP

GAZA,14 Mac-Kumpulan pejuang Hamas pada Khamis sekali lagi menuntut agar tentera Israel menarik diri dari selatan Gaza, sambil menuduh Israel cuba melanggar syarat perjanjian gencatan senjata dalam rundingan mengenai fasa seterusnya.

Jurucakap Hamas, Hazem Qassem, memberitahu AFP bahawa tentera Israel sepatutnya sudah berundur dari sebahagian kawasan sepanjang sempadan Gaza-Mesir di bawah fasa pertama gencatan senjata yang bermula pada 18 Januari lalu.

Hamas menuduh Israel mengekalkan kehadiran tenteranya di Koridor Philadelphi yang strategik, manakala Israel menegaskan ia perlu mengawal kawasan itu bagi menghalang penyeludupan senjata ke wilayah Palestin dari Mesir.

Qassem memberi bayangan bahawa koridor tersebut menjadi salah satu isu utama dalam rundingan yang dimediasi oleh Qatar dan Amerika Syarikat di Doha bagi membincangkan fasa seterusnya gencatan senjata.

"Laporan menunjukkan cadangan baharu sedang dikemukakan yang bertujuan untuk mengelak daripada mematuhi perjanjian Gaza," kata Qassem kepada AFP.

"Mesyuarat masih berlangsung dengan para perantara di Doha. Kami berpegang kepada apa yang telah dipersetujui serta pelaksanaan fasa kedua," tambahnya.

Namun, beliau menegaskan bahawa Israel juga mesti memenuhi kewajipannya dengan berundur sepenuhnya dari Gaza serta memulakan pengunduran dari Koridor Philadelphi" bagi membolehkan fasa kedua perjanjian yang bertujuan menamatkan perang yang tercetus selepas serangan pada Oktober 2023.

"Israel masih belum melaksanakan protokol kemanusiaan dalam perjanjian Gaza," tambah Qassem.

Israel telah menghentikan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza sejak 2 Mac lepas sebagai tekanan agar Hamas membebaskan semua tebusan yang masih ditahan sejak serangan 2023.

"Kami tidak mahu kembali berperang, tetapi jika penjajah meneruskan serangan, kami tiada pilihan selain mempertahankan rakyat kami," kata jurucakap Hamas itu.

Fasa pertama gencatan senjata berakhir pada 1 Mac tanpa perjanjian mengenai peringkat seterusnya. Israel hanya bersetuju untuk melanjutkan syarat-syarat fasa pertama gencatan senjata.

Fasa kedua sepatutnya membawa kepada pengunduran tentera Israel dari Gaza sebagai sebahagian daripada proses menamatkan perang yang telah memusnahkan wilayah itu dan mengorbankan puluhan ribu nyawa.

Delegasi perunding Israel telah tiba di Doha minggu ini untuk menyertai rundingan tersebut.

Media Israel pada Khamis melaporkan bahawa Israel menuntut Hamas menyerahkan beberapa tebusan yang masih hidup serta mayat tebusan yang telah meninggal dunia – daripada 58 individu yang masih hilang di Gaza – sebagai pertukaran untuk lanjutan gencatan senjata selama 50 hari.

Namun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menolak laporan tersebut sebagai "berita palsu".-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD