fb fb fb fb fb

Penasihat Trump mahu batalkan kontrak AFP & agensi berita lain

FOTO HIASAN

WASHINGTON, 14 Mac- Seorang penasihat kanan kepada Presiden Donald Trump mengumumkan langkah untuk membatalkan kontrak tiga agensi berita antarabangsa dan badan persekutuan yang mengawasi organisasi berita yang dibiayai kerajaan Amerika Syarikat.

Dalam satu hantaran di platform X, Kari Lake, bekas wartawan yang kini ahli politik dan penyokong setia Trump berkata: "Kita tidak sepatutnya membayar syarikat berita luar untuk memberitahu kita apa itu berita."

Lake, yang menyertai Agensi Media Global Amerika Syarikat (USAGM) sebagai penasihat khas bulan lalu, memaklumkan keputusan membatalkan kontrak bernilai puluhan juta dolar dengan The Associated Press (AP), Reuters, dan Agence France-Presse (AFP).

"Kita sepatutnya menghasilkan berita sendiri dan jika itu tidak boleh dilakukan, pembayar cukai Amerika berhak tahu sebabnya," tambahnya.

AFP mempunyai beberapa kontrak jangka panjang untuk menyediakan perkhidmatan teks, foto, dan video kepada saluran berita di bawah USAGM, termasuk Voice of America (VOA), Radio Free Europe, dan Radio Free Asia yang ditubuhkan bagi melaporkan berita serta memerangi penapisan maklumat di luar negara.

Trump sebelum ini menyasarkan agensi-agensi berita yang dikawal USAGM sebagai sebahagian daripada usaha pembaharuan medianya. Penasihat rapatnya, Elon Musk, turut menggesa penutupan VOA dan Radio Free Europe dengan alasan ia membazirkan wang pembayar cukai.

Lake telah dicalonkan oleh Trump Disember lalu untuk mengetuai VOA, namun masih menunggu pengesahan rasmi.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE