fb fb fb fb fb

Gautam Adani tepis dakwaan rasuah AS

Gautam Adani/ REUTERS

NEW DELHI, 1 Disember- Pengasas Adani Group, Gautam Adani membuat kenyataan balas kali pertama terhadap dakwaan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) berkenaan rasuah bernilai $265 juta. 

Dakwaan itu adalah krisis besar kedua yang melanda Adani dalam masa dua tahun sekali gus menimbulkan kejutan di seluruh India.

India sedang mengkaji perjanjian kuasa dengan kumpulan itu manakala TotalEnergies Perancis memutuskan untuk menghentikan sementara pelaburannya dan perbalahan politik mengenai Adani. Perkara itu turut mengganggu parlimen India.

"Kurang dari dua minggu lalu, kami menghadapi satu dakwaan dari AS mengenai amalan pematuhan di Adani Green Energy. Ini bukan kali pertama kami menghadapi cabaran sedemikian," kata Adani dalam ucapan pada satu majlis anugerah.

Pihak berkuasa AS menuduh Gautam Adani, anak saudaranya dan pengarah eksekutif Sagar Adani serta pengarah urusan Adani Green, Vneet S. Jaain membayar rasuah untuk mendapatkan kontrak bekalan kuasa India.

Bagaimanapun Adani Group menafikan dakwaan itu dan menyifatkan ia sebagai "tidak berasas" dan berjanji untuk mendapatkan "semua kemungkinan menerusi undang-undang".

"Apa yang saya boleh katakan ialah setiap serangan menjadikan kami lebih kuat dan setiap halangan menjadi batu loncatan untuk Adani Group lebih berdaya tahan," kata Adani di bandar Jaipur di utara India.

"Dunia hari ini mudah menyebarkan negativiti berbanding fakta. Kami mengambil langkah melalui proses undang-undang. Saya ingin mengesahkan semula komitmen mutlak kami terhadap pematuhan peraturan bertaraf dunia," tambahnya, tanpa memberikan butiran lanjut.

Ketua kewangan Kumpulan Adani pada Jumaat menolak dakwaan itu, manakala kerajaan India berkata ia tidak menerima sebarang permintaan AS berhubung kes itu.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI