fb fb fb fb fb

Gara-gara ketagih judi lelaki Indonesia rugi RM52,000

Komunikasi dan Informasi (KOMINFO) telah menyekat 2.1 juta laman web sebagai sebahagian daripada usaha memerangi perjudian dalam talian di Indonesia/Foto ANTARA

JAKARTA, 28 Ogos - Gara-gara ketagihan bermain judi dalam talian, seorang penjual makanan ringan di Indonesia akui bahawa dia telah kehilangan lebih $12,000 (RM52,000).

Surya ayah kepada dua orang anak (bukan nama sebenar), 36, berkata dia tidak lagi menghantar wang ke kampung halamannya di Jawa Barat sejak ketagih main judi.

Surya, yang sebelum ini memperoleh sehingga empat juta rupiah (RM1,100) sebulan di Bandung, Jawa Barat, mula hanya menghantar satu juta rupiah (kira-kira RM280) sahaja ke kampung selepas terjebak dengan perjudian.

"Selepas kalah besar bermain judi, saya teringin untuk menang semula, walaupun terpaksa meminjam wang.

"Tapi walaupun menang, wang itu akan habis sekelip mata. Sekarang, saya lebih rela memberikan wang kepada isteri saya," katanya.

Sementara itu, Eno Saputra, seorang penjual sayur berusia 36 tahun di Sumatera Selatan, mula membeli tiket loteri lima tahun lalu tetapi kini ketagih berjudi melalui telefon bimbit.

Dia membelanjakan sekurang-kurangnya 100,000 rupiah (kira-kira RM28) sehari untuk berjudi dan pernah memenangi lapan juta rupiah (kira-kira RM2,200), namun kebiasaannya mengalami kerugian.

"Dari lubuk hati, saya mahu berhenti, demi anak-anak saya," kata bapa kepada tiga orang anak itu kepada AFP.

"Saya tahu ini salah dan dilarang oleh agama saya," katanya.

Surya, dalam masa yang sama, telah berhenti berjudi selama sebulan dan nekad untuk berhenti selamanya.

"Tidak ada sesiapa yang kaya dengan perjudian dalam talian. Sekarang saya sudah belajar daripada kesilapan saya," katanya.

Namun, bagi Eno, melepaskan diri daripada tabiat ini bukanlah perkara yang mudah.

"Ini adalah sesuatu yang bodoh untuk dilakukan, tetapi saya sudah ketagih," tambahnya. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN