fb fb fb fb fb

Taufan Shanshan: Empat hilang akibat tanah runtuh di Jepun

Pasukan penyelamat berada di luar sebuah rumah yang terkena tanah runtuh di Gamagori, wilayah Aichi/Foto AFP

TOKYO, 28 Ogos - Empat ahli keluarga dilaporkan hilang dalam kejadian tanah runtuh selepas hujan lebat yang berterusan dan Taufan Shanshan di Jepun.

Kejadian berlaku di Gamagori, sebuah bandar di wilayah Aichi, pada malam Selasa setelah kawasan itu dilanda hujan lebat selama beberapa jam.

Taufan Shanshan berada sekitar 80 kilometer dari kepulauan Amami, membawa angin kencang dengan kelajuan mencapai 252 kilometer sejam.

Hujan lebat berterusan menyebabkan tanah runtuh serta menghanyutkan sebuah rumah di Gamagori.

Rumah tersebut didiami oleh lima ahli keluarga, terdiri daripada sepasang suami isteri yang berusia 70-an, dua wanita berusia 40-an, dan seorang lelaki berusia 30-an.

Seorang pegawai tempatan memaklumkan bahawa salah seorang daripada ahli keluarga tersebut berjaya diselamatkan.

Bagaimanapun, empat lagi ahli keluarga masih belum ditemukan dan usaha mencari terus dilakukan sepanjang malam dengan bantuan pasukan penyelamat.

Pihak agensi cuaca Jepun telah memberi amaran bahawa wilayah Kagoshima, termasuk kepulauan Amami, mungkin akan menghadapi hujan lebat yang lebih teruk pada hari Rabu.

Mereka juga akan mengeluarkan amaran khas bagi menghadapi risiko banjir dan tanah runtuh yang lebih besar akibat daripada kesan taufan tersebut.

Syarikat penerbangan telah membatalkan berpuluh-puluh penerbangan dan beberapa operasi kereta api laju mungkin dihentikan bergantung kepada amaran Taufan Shanshan.

Shanshan dijangka menuju ke pulau utama selatan Jepun, Kyushu, minggu ini.

Taufan Shanshan menyusul selepas Taufan Ampil yang telah mengganggu ratusan penerbangan dan kereta api bulan ini. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN