JAKARTA, 28 Ogos - Berdasarkan statistik, kira-kira 3.7 juta rakyat Indonesia terlibat dalam perjudian pada tahun lalu meskipun perjudian adalah haram di negara ini dengan penduduk Muslim terbesar di dunia ini.
Oleh itu Presiden Joko Widodo menubuhkan pasukan khas yang diketuai oleh menteri keselamatan negara serta mengarahkan penyedia telekomunikasi untuk menyekat laman web perjudian luar negara, terutamanya di Kemboja dan Filipina.
"Perjudian meletakkan masa depan kita dalam risiko... termasuk masa depan keluarga dan anak-anak kita," katanya ketika melancarkan pasukan khas itu pada Jun lalu.
Kerajaan Indonesia telah menyenarai hitam beberapa perkhidmatan VPN yang berupaya melepasi sekatan laman web judi dalam talian luar negara.
Namun kaki judi yang tegar masih dapat bertaruh melalui telefon bimbit atau melalui bookie haram, dan mudah untuk meminjam wang daripada ceti haram.
Di Bogor, sebuah hospital psikiatri menawarkan rawatan kepada mereka yang bergelut dengan ketagihan judi, tetapi doktor percaya masih ramai yang belum mendapatkan bantuan.
Pengarah Hospital Psikiatri Marzoeki Mahdi, Nova Riyanti Yusuf mendedahkan setakat ini 19 penagih judi telah menerima kaunseling dan terapi untuk masalah kebimbangan, paranoia, gangguan tidur, dan mereka yang mempunyai keinginan bunuh diri.
Ahli ekonomi, Nailul Huda berkata terdapat peningkatan dalam jenayah seperti bunuh diri, dan perceraian yang dikaitkan dengan judi haram, walaupun usaha kerajaan menangani masalah ini dikritik kerana hukuman yang ringan.
"Penyiasatan mesti diperluaskan kepada nama-nama besar kerana mereka tidak bekerja sendirian," katanya.
Polis melaporkan mereka menahan 467 pengendali perjudian dalam talian antara April dan Jun, dengan rampasan aset lebih $4 juta.
Hakim di Indonesia juga dikritik kerana menjatuhkan hukuman penjara yang ringan antara tujuh hingga 18 bulan sahaja.
Pada bulan Jun, seorang pegawai polis di Jawa Timur membakar suaminya kerana ketagihan bermain judi.
Manakala tahun lalu seorang lelaki berusia 48 tahun di Sulawesi Tengah sanggup merompak dan membunuh ibunya untuk membiayai tabiat judinya. - AFP
BERITA BERKAITAN