(Seorang pekerja kesihatan menyejukkan badan dengan kipas
di Shanghai pada 11 Ogos 2022/AFP)
CHINA, 16 Ogos- Suasana kelam-kabut di Shanghai tercetus apabila dua orang yang berkemungkinan positif COVID-19 menyebabkan orang ramai keluar dari sebuah pasar raya popular kerana bimbang peraturan ketat perintah berkurung pihak berkuasa China.
Strategi sifar COVID di China melibatkan sekatan dan kuarantin serta-merta, kadangkala hanya melibatkan satu dua kes, telah mencetuskan kebimbangan dan kemarahan penduduk di beberapa bandar.
Video yang dikongsi secara meluas di media sosial dan disahkan AFP menunjukkan sekumpulan kecil kakitangan berpakaian PPE cuba memastikan pintu utama sebuah pasar raya di Shanghai ditutup pada Jumaat selepas seorang pekerja dikenal pasti sebagai kontak rapat kes COVID-19.
Aksi orang ramai melarikan diri daripada kakitangan kesihatan sempat dirakam kamera telefon pintar.
Beberapa individu dilihat menyeret penghadang logam beberapa meter ketika mereka melarikan diri dari pusat beli-belah itu.
Bawah peraturan ketat China, kontak rapat boleh dikenakan kuarantin.
Insiden serupa berlaku di pusat beli belah sama di daerah Xuhui Shanghai pada Sabtu, apabila pihak berkuasa kesihatan cuba mengunci pelanggan di lokasi kerana keputusan ujian "tidak normal".
Klip video yang dikongsi dalam talian menunjukkan sekumpulan besar individu cuba melarikan diri.
Jeritan turut kedengaran ketika kakitangan cuba menutup pintu. Namun orang ramai dilihat menolak pintu pusat beli belah tersebut dan akhirnya mereka berlari keluar.
(Foto fail yang diambil pada 17 April 2022, menunjukkan
seorang pekerja kesihatan menjalankan ujian swab/AFP)
Shanghai, dengan kepadatan penduduk seramai 25 juta orang kini bergelut dengan peraturan ketat COVID-19 yang dikenakan pemerintah sejak awal tahun ini, apabila ditutup selama dua bulan bagi membendung penularan wabak tersebut.
Langkah itu turut menjejaskan aktiviti perniagaan dan beberapa penduduk melaporkan masalah untuk mengakses bekalan makanan dan rawatan perubatan bukan COVID-19.
Ia juga turut mencetuskan bantahan penduduk yang kecewa terhadap pihak berkuasa.
Kemarahan merebak di pulau selatan Hainan, menyaksikan lebih 80,000 pelancong terkandas di bandar peranginan Sanya pada awal bulan ini kerana wabak Covid.
China adalah satu-satunya ekonomi utama yang masih berpegang teguh pada strategi sifar-covid, sekali gus membantutkan pelancongan domestik ketika musim puncak.
Sebahagian besar sempadan negara telah ditutup sejak awal 2020, bagi menghentikan kemasukan pelancong antarabangsa. -AFP