CONAKRY, 4 Ogos - Sekurang-kurangnya 15 maut susulan hujan lebat berterusan sejak akhir Jun lalu di ibu negara Guinea, Conakry. Ia turut menyebabkan puluhan penduduk kehilangan tempat tinggal, menurut agensi pengurusan bencana negara itu.
Beberapa jalan dan jambatan utama dilaporkan rosak teruk, termasuk Jambatan Fossidet. Sukarelawan dan anggota penyelamat terus menjalankan pencarian mangsa serta membersihkan runtuhan.
“Kami bantu komuniti tempatan dan pihak berkuasa bersihkan kawasan terjejas dan cari mangsa hilang,” kata Loua Nicodem, sukarelawan yang turut menyertai operasi di jambatan Kobaya dan Fossidet.
Pasukan Palang Merah membawa keluar mayat mangsa melalui jalan yang masih ditenggelami air ke rumah mayat di Masjid Kobaya.
“Kami hanya bantu urusan membawa jenazah bersama keluarga ke rumah mayat,” menurut Ketua Perkhidmatan Kecemasan Palang Merah di Ratoma, Mamadou Bailo Bah.
Agensi Pengurusan Kecemasan dan Bencana Kemanusiaan Kebangsaan (ANGUCH) memaklumkan, sebanyak 138 rumah rosak manakala 52 keluarga terpaksa berpindah ke penempatan sementara.
Kerajaan Guinea berjanji mempercepat naik taraf sistem saliran bandar, membersihkan laluan air utama serta memindahkan komuniti yang tinggal di kawasan berisiko tanah runtuh. - Reuters