SINGAPURA, 4 Ogos - Taikun hartanah, Ong Beng Seng mengaku bersalah atas satu pertuduhan bersubahat menghalang keadilan dalam kes berprofil tinggi yang menyaksikan bekas Menteri Pengangkutan, S. Iswaran dipenjara tahun lalu kerana menerima barangan berharga ketika berkhidmat sebagai penjawat awam.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju untuk memberikan Ong pengampunan kehakiman berikutan penyakit kronik yang dihidapinya dan mencadangkan hukuman denda sebagai ganti penjara. Hukuman akan dijatuhkan pada 15 Ogos ini.
Satu lagi pertuduhan bersubahat turut diambil kira dalam prosiding.
Pengampunan kehakiman memberi kuasa kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman lebih ringan dalam keadaan mitigasi luar biasa, seperti penyakit terminal atau risiko tinggi terhadap nyawa jika dipenjara.
Peguam bela memaklumkan bahawa Ong menghidap 'multiple myeloma', sejenis kanser tidak boleh diubati yang menjejaskan sel plasma darah dan menyebabkan imuniti badan lemah.
Kes tersebut mendapat perhatian meluas di Singapura, pusat kewangan yang terkenal dengan gaji menteri melebihi S$1 juta (AS$775,000) bagi mengelakkan rasuah, serta reputasinya sebagai negara dengan tadbir urus bersih.
Ong memberitahu Iswaran bahawa pihak berkuasa telah menyoal siasat beberapa rakannya serta merampas dokumen manifest penerbangan jet peribadi yang memaparkan nama Iswaran untuk perjalanan ke Doha.
Perkara itu mendorong Iswaran meminta Ong mengeluarkan invois menerusi penganjur Formula 1 Grand Prix Singapura, Singapore GP, untuk mengenakan bayaran ke atas perjalanan tersebut, yang menurut pendakwaan diketahui Iswaran mampu mengurangkan risiko siasatan terhadap dirinya.
Iswaran sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 bulan pada Oktober 2024 atas pertuduhan menghalang keadilan dan menerima hadiah bernilai lebih AS$300,000. Ini merupakan kali pertama bekas anggota kabinet Singapura dipenjara. Pada Februari lalu, dia ditempatkan di bawah tahanan rumah bagi baki hukuman.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Iswaran menerima pelbagai hadiah daripada Ong, termasuk tiket perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris, tiket Formula 1 Grand Prix Singapura, persembahan muzikal di London serta penerbangan jet peribadi.
Iswaran adalah penasihat kepada jawatankuasa pemandu Formula 1 Singapura, manakala Ong, 79, memiliki hak penganjuran perlumbaan itu.
Ong meletakkan jawatan sebagai pengarah urusan Hotel Properties yang tersenarai di Bursa Singapura pada April lalu.-REUTERS