SANAA, 31 Julai - Penduduk Yaman terus bergantung kepada bantuan tempatan selepas krisis makanan semakin parah akibat konflik dan kemelesetan ekonomi.
Di Sanaa, badan amal Mona Relief mengagihkan barangan asas seperti tepung, minyak masak dan kacang kepada keluarga miskin yang bergelut untuk hidup.
Ketua organisasi itu, Fatik al-Rudaini berkata, keperluan sangat besar, tetapi kemampuan mereka amat terhad.
Krisis bertambah buruk selepas Program Makanan Dunia (WFP) menghentikan operasi sejak Disember 2023. Hampir 17 juta rakyat Yaman kini berdepan kekurangan makanan, menurut laporan PBB.
Seorang pelarian, Um Awab, berkata mereka kini hanya bergantung kepada bantuan. Manakala Nema Ghalib, ibu kepada empat anak, berharap bantuan dapat diteruskan setiap bulan kerana anak-anaknya ke sekolah tanpa makanan.
Walaupun sumber terhad, badan amal tempatan terus berusaha membantu, sementara rakyat hanya mampu bertahan seadanya. - Reuters