WASHINGTON, 26 Ogos - Gabenor Illinois, J.B. Pritzker menegaskan negeri itu tidak pernah meminta campur tangan persekutuan dan memberi amaran tindakan undang-undang akan diambil bagi menghalang penempatan tentera di Chicago.
Beliau menyifatkan langkah Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sebagai usaha mencari alasan untuk mengerahkan tentera di bandar dikuasai Demokrat bagi menakut-nakutkan lawan politiknya. Pritzker, seorang bilionair Demokrat, turut disebut-sebut sebagai calon presiden pada 2028.
Terdahulu, Trump mendakwa berlaku gelombang jenayah di Washington D.C., sekali gus mengambil alih kawalan pasukan polis bandar itu awal bulan ini. Beliau turut membenarkan anggota Pengawal Kebangsaan membawa senjata ketika rondaan serta mengugut memperluas kehadiran tentera ke bandar seperti Baltimore dan Chicago.
Trump pada Isnin juga mengarahkan Jabatan Pertahanan memastikan setiap negeri mempunyai anggota Pengawal Kebangsaan yang bersedia digerakkan segera bagi menangani rusuhan serta membantu menjaga keselamatan awam, selain menubuhkan pasukan tindak balas pantas di seluruh negara.-REUTERS