HÉRAULT, 11 Oktober - Fosil buaya prasejarah berusia 180 juta tahun dari zaman Jura dipamerkan kepada umum di Muzium Lodève, selatan Perancis.
Fosil sepanjang lima meter itu ditemui dalam keadaan hampir sempurna dengan tulang belakang, kaki, muncung panjang dan gigi masih jelas kelihatan.
Penemuan bersejarah itu disifatkan sebagai “luar biasa”, oleh pakar paleontologi muzium, Stéphane Fouché, yang mengesahkan ia adalah fosil buaya paling lengkap pernah dijumpai di Perancis.
Fosil tersebut ditemui secara tidak sengaja oleh seorang penduduk tempatan di kawasan pedalaman berhampiran Montpellier dan diserahkan kepada pihak muzium.
“Lelaki itu datang dengan kotak berisi 11 tulang belakang. Kami kemudian ke lokasi dan menemui rangka lain yang masih tertanam,” katanya.
Kerja penggalian dijalankan selama empat tahun di bawah penyelidikan Jérémy Martin dari CNRS, dengan kerjasama kumpulan arkeologi tempatan.
Ahli paleontologi Camille Auclair berkata, fosil berkenaan dibersihkan menggunakan teknik sablaj halus bagi mengekalkan butiran tulang dan kini dalam proses kajian spesies.
“Bahagian tengkorak masih bersambung dengan tulang leher dan boleh menentukan sama ada ia spesies baharu,” jelasnya.
Fosil berkenaan kini menjadi tarikan utama Muzium Lodève, yang mempamerkan koleksi sejarah bumi berusia lebih 540 juta tahun. - AFP