PARIS, 11 Oktober - Selepas empat hari meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, Sébastien Lecornu kembali diberi mandat untuk menerajui kerajaan Perancis.
Lecornu berkata, beliau berikrar membentuk kerajaan yang lebih terbuka dan bebas daripada pengaruh parti politik, demi meredakan krisis yang kian menekan rakyat.
Tambahnya, beliau akan menunaikan tanggungjawabnya dan enggan menjadi beban kepada pentadbiran baharu pimpinan Presiden Emmanuel Macron, yang berdepan kebuntuan politik serta tekanan kewangan negara meningkat.
Pelantikan semula itu dilihat sebagai langkah strategik Macron untuk menstabilkan kerajaan menjelang tempoh 18 bulan terakhir penggal pentadbirannya selepas pilihan raya tergempar tahun lalu menyebabkan parlimen tergantung.
Dalam lawatan ke sebuah balai polis di pinggir selatan Paris, Lecornu menegaskan beliau tidak mempunyai agenda politik tersembunyi.
Katanya, beliau terbuka kepada perdebatan berhubung pembaharuan sistem pencen yang menjadi isu sensitif dalam kalangan parti sayap kiri.
Namun, beliau juga perlu berdepan cabaran hubungan dengan parti konservatif Les Républicains (LR) selepas bekas Menteri Dalam Negeri, Bruno Retailleau, menolak sebarang penyertaan partinya dalam kerajaan baharu.
Kerajaan baharu Lecornu dijangka diumumkan dalam masa terdekat dengan tumpuan kepada langkah penjimatan dan pemulihan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Macron.
Lecornu dilantik sebagai perdana menteri selepas Francois Bayrou gagal dalam undi percaya di parlimen pada 8 September. -- AFP