ISTANBUL, 11 Oktober — Aktivis misi kemanusiaan Freedom Flotilla berkongsi pengalaman ngeri ketika ditahan dan didera tentera Israel di dalam penjara.
Mereka antara 94 aktivis pro-Palestin daripada gabungan Freedom Flotilla Coalition yang tiba di Istanbul malam tadi, menaiki pesawat khas Turkish Airlines dari Jordan selepas dibebaskan dari tahanan Israel.
Antara mereka, 18 warga Turkiye dan 76 aktivis antarabangsa, termasuk rakyat Malaysia, Amerika Syarikat dan Norway.
Mereka menegaskan perjuangan untuk membebaskan Gaza daripada sekatan akan diteruskan.
Aktivis kelahiran Palestin dari Amerika Syarikat, Dr. Dhia Daoud, menceritakan layanan kejam yang diterima ketika ditahan di penjara Israel.
“Mereka menahan kami di perairan antarabangsa, mengacukan senjata dan memukul kami. Namun penderitaan kami tidak seberapa dibandingkan dengan rakyat Palestin yang terus dizalimi,” katanya.
Aktivis Malaysia, Dr Norsham Abu Bakar, menzahirkan terima kasih kepada kerajaan Turkiye atas bantuan diberikan, namun menegaskan fokus utama kekal kepada Gaza.
“Saya Noorsham dari Malaysia, mewakili kapal Ship of Conscience. Terima kasih kepada kerajaan Turkiye atas sokongan dan bantuan yang diberikan.
"Namun fokus utama mesti kekal kepada Gaza dan rakyat Palestin ini bukan tentang kami, tetapi tentang mereka yang masih dipenjara dan dibunuh setiap hari," katanya.
Sementara itu, aktivis Norway, Vigdis Bjorvand, berikrar akan terus menyertai misi flotilla sehingga sekatan ke atas Gaza ditamatkan sepenuhnya.
Ketibaan mereka disambut Ketua Kumpulan Persahabatan Parlimen Turkiye-Palestin, Hasan Turan, bersama pegawai kerajaan dan wakil Turkish Airlines di Lapangan Terbang Istanbul.
Tentera Israel sebelum ini menyerang lebih 40 kapal bantuan Global Sumud Flotilla, menahan lebih 450 aktivis yang menyertai misi membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza. - ANADOLU/REUTERS