fb fb fb fb fb

23 terbunuh dalam siri serangan pengganas Taliban Pakistan

Gambar dirakam pada 2021, seorang anggota separa tentera Pakistan (kiri) dan pejuang Taliban berkawal di sempadan antara Pakistan dan Afghanistan di Torkham, daerah Khyber, Pakistan/Foto AP

PESHAWAR, (PAKISTAN), 11 OKTOBER - Sekurang-kurangnya 23 orang, termasuk 20 anggota keselamatan, terbunuh dalam siri serangan disyaki dilakukan Kumpulan Pengganas Taliban Pakistan (TTP) di wilayah barat laut negara itu, semalam.

Serangan paling dahsyat berlaku di sekolah latihan polis di Dera Ismail Khan, apabila pengebom nekad meletupkan kenderaan sarat bahan letupan di pintu pagar sebelum disusuli serangan bersenjata.

Serangan itu sekali gus mengorbankan tujuh anggota polis dan mencederakan 13 yang lain.

Di daerah sempadan Khyber, 11 anggota pasukan keamanan turut maut, manakala tiga orang awam terbunuh dalam pertempuran berasingan di daerah Bajaur.

Menurut pegawai kanan polis Muhammad Hussain, enam penyerang berjaya ditembak mati dalam kejadian itu.

Kumpulan TTP mengaku bertanggungjawab atas serangan berkenaan menerusi mesej di media sosial.

Perdana Menteri Shehbaz Sharif mengecam keras serangan tersebut dan menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dalam membanteras keganasan.

“Tindakan pengecut seperti ini tidak akan menggugat tekad kami. Pakistan komited menghapuskan keganasan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan rasmi.

Ketegangan meningkat selepas kerajaan Taliban Afghanistan menuduh Pakistan menceroboh wilayah Kabul, sehari sebelum letupan kedengaran di ibu negara Afghanistan itu.

Sejak awal tahun ini, lebih 500 nyawa termasuk anggota tentera dan polis Pakistan terkorban akibat serangan pengganas di kawasan sempadan. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN