SUDAN, 11 Oktober - Sekurang-kurangnya 30 orang maut dalam serangan dron di pusat perlindungan pelarian di bandar El-Fasher, barat Sudan, awal pagi tadi.
Menurut Jawatankuasa Penentangan El-Fasher, serangan itu dipercayai dilakukan oleh pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) yang mengebom Pusat Perlindungan Dar al-Arqam di kawasan universiti.
Kerajaan Sudan menyifatkan kejadian itu sebagai pembunuhan beramai-ramai, dengan mayat mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan.
Sejak konflik antara RSF dan tentera Sudan tercetus pada April 2023, puluhan ribu nyawa terkorban dan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal.
Sementara hampir 25 juta orang kini berdepan kebuluran serius.
Selepas hampir 18 bulan El-Fasher dikepung RSF lebih 400,000 penduduk terperangkap di bandar itu tanpa bekalan makanan mencukupi, malah dapur komuniti terpaksa ditutup kerana kehabisan bahan asas.
Aktivis menyifatkan El-Fasher sebagai “bilik mayat terbuka” bagi ribuan mangsa kebuluran dan korban serangan berterusan. - AFP