fb fb fb fb fb

Finland 'berkemungkinan besar' mohon keanggotaan NATO

HELSINKI, 15 April - Seorang menteri kabinet Finland berkata adalah "kemungkinan besar" negara itu akan memohon keahlian NATO.

“Pada ketika ini saya boleh mengatakan bahawa ia berkemungkinan besar, tetapi keputusan itu belum dibuat,” kata Menteri Hal Ehwal Eropah Finland Tytti Tuppurainen.

"Rakyat Finland, mereka nampaknya sudah membuat keputusan dan terdapat majoriti besar untuk keahlian NATO," katanya kepada Sky News Britain.

Beliau berkata demikian hanya beberapa jam selepas Rusia memberi amaran tentang "akibat" yang tidak dinyatakan sekiranya Finland dan Sweden menyertai pakatan tentera.

Pencerobohan Moscow di Ukraine yang bermula 24 Februari lepas telah mencetuskan pusingan U yang dramatik dalam pendapat awam dan politik di Finland dan Sweden berhubung dasar ketidakselarasan tentera yang telah lama dipegang.

Perdana Menteri Finland, Sanna Marin pada hari Rabu berkata, negara Nordik itu akan memutuskan sama ada akan memohon keahlian NATO dalam masa beberapa minggu lagi.

(Perdana Menteri Finland, Sanna Marin/APF)

Sweden juga sedang mempertimbangkannya.

Kementerian Luar Rusia sebelum ini berkata pilihan terserah kepada Finland dan Sweden.

“Tetapi mereka harus memahami akibat daripada langkah sedemikian kepada hubungan dua hala kami dan keselamatan Eropah secara keseluruhannya,” kata jurucakap, Maria Zakharova dalam satu kenyataan.-AFP

Media Baharu