fb fb fb fb fb

Pengurus Bayern Munich terima ugutan bunuh

BERLIN, 15 April - Pengurus kelab bola sepak Bayern Munich, Julian Nagelsmann mengadu menerima ugutan bunuh dalam talian selepas pasukannya tersingkir mengejut daripada Liga Juara Eropah apabila tewas di tangan Villarreal, minggu ini.

"Saya tahu saya akan sentiasa mendapat kritikan daripada semua pihak, itu perkara biasa dan saya boleh menanganinya. Tetapi dengan 450 ugutan bunuh di Instagram, ia tidak begitu mudah," kata Nagelsmann menjelang kunjungan Bayern ke Arminia Bielefeld dalam saingan Bundesliga Jerman, Ahad ini.

(Julian Nagelsmann/REUTERS)

"Jika orang mahu membunuh saya itu satu perkara, tetapi mereka juga menyerang ibu saya sendiri, yang langsung tidak mengambil berat tentang bola sepak.

"Saya tidak faham. Sebaik sahaja mereka menutup TV, orang ramai lupa semua kesopanan. Dan mereka fikir mereka adalah orang yang betul, itu perkara gila," tambahnya

Ditanya sama ada beliau telah mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang, Nagelsmann berkata beliau berpendapat terdapat terlalu banyak ancaman untuk menjadikannya sesuatu yang realistik.

"Saya mendapatkannya selepas setiap perlawanan, tidak kira sama ada kami menang atau kalah.

"Terdapat lebih banyak ancaman bunuh apabila kami bermain dengan tiga pemain pertahanan berbanding ketika kami bermain dengan empat, dan jelas bertambah apabila kami kalah," katanya. -AFP

Media Baharu