fb fb fb fb fb

Filipina, China adakan 'perjanjian sementara' mengenai Second Thomas Shoal

Nelayan Filipina mendayung perahu lepa semasa perjalanan berhampiran Scarborough Shoal/ REUTERS

MANILA, 13 Ogos- "Perjanjian sementara" antara Filipina dan China mengenai misi pembekalan semula untuk tentera di Second Thomas Shoal di Laut China Selatan mungkin tertakluk kepada semakan masa depan, kata seorang pegawai kementerian luar pada Selasa.

Komen itu dibuat berikutan ketegangan meningkat antara kedua-dua negara di beting yang dipertikaikan itu.

Dalam kejadian baru-bari ini Manila mendakwa sebuah pesawat China menjatuhkan suar di laluan pesawat tenteranya.

Namun kedua-dua negara mencapai persetujuan pada Julai selepas beberapa kali kebuntuan di Second Thomas Shoal, di mana pada tahun 1999 Filipina telah meletakkan kapal tentera laut dan mengekalkan sebilangan kecil tentera di kawasan itu untuk menyokong tuntutan maritim.

Pengaturan itu meliputi misi pembekalan semula di Second Thomas Shoal dan bukannya ciri-ciri lain dipertikaikan di Laut China Selatan.

Timbalan Setiausaha Hal Ehwal Luar Ma. Theresa Lazaro berkata, persefahaman dengan China tidak menjejaskan kedudukan Laut China Selatan negara itu dan pengaturan itu mungkin dinilai semula jika perlu.

"Semakan akan ada. Namun itu tertakluk kepada perbincangan lanjut," kata Lazaro kepada Reuters di luar sidang kongres.

Sementara itu Menteri Luar Filipina Enrique Manalo memberitahu ahli parlimen Filipina akan menghormati persefahaman sementara dan mengharapkan China melakukan perkara sama.

Bagaimanapun Kedutaan China di Manila tidak memberikan sebarang respons berkenaan perkara itu.

Filipina menyelesaikan misi pembekalan semula tanpa halangan pada 27 Julai lalu berikutan perjanjian dengan China.

Keadaan di sekitar Scarborough Shoal di Laut China Selatan masih kekal.

Scarborough Shoal merupakan kawasan perikanan utama dengan lagun yang menyediakan tempat persinggahan bagi kapal semasa ribut Lokasinya terletak dalam zon ekonomi eksklusif Filipina tetapi kawasan itu diduduki oleh China lebih sedekad.

Namun Tentera Laut Filipina menyifatkan tindakan Tentera Udara China ke atas beting yang dipertikaikan itu adalah "memaksa, agresif dan menipu".

Tindakan berkenaan meningkatkan kemarahan Filipina ditambah dua pesawat China, yang dikatakan menjatuhkan suar di laluan pesawat tentera Filipina semasa menjalankan rondaan rutin ke atas beting itu.

Tindakan China itu dikhuatiri akan meningkatkan risiko kejadian tidak diingini, kata Laksamana Muda Roy Vincent Trinidad.

China turut menuntut kedaulatan ke atas beting berkenaan dan mengatakan negara tembok besar itu bertindak secara profesional dan mengikut undang-undang.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI