fb fb fb fb fb

FBI syak kebocoran makmal di Wuhan, punca penularan COVID-19

FOTO AFP

WASHINGTON, 1 Mac- Pandemik COVID-19 yang melanda dunia berkemungkinan besar berpunca daripada insiden di makmal Wuhan, China.

Kenyataan tersebut disuarakan Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Christopher Wray.

"FBI telah lama menilai asal-usul wabak itu, kemungkinan besar potensinya berpunca daripada insiden di makmal Wuhan," kata Wray dalam temu bual dengan Fox News.

Komen itu dibuat selepas laporan awal minggu ini mengatakan Jabatan Tenaga Amerika Syarikat telah menentukan bahawa kebocoran dari makmal China adalah sebab paling kukuh penularan wabak COVID-19.

Bagaimanapun, agensi lain dalam komuniti perisikan Amerika percaya virus itu muncul secara semula jadi di dunia.

Dalam wawancara itu, Wray juga menuduh kerajaan China cuba menghalang usaha AS untuk menyiasat punca wabak itu.

"Kerajaan China telah melakukan yang terbaik untuk cuba menggagalkan dan mengelirukan kerja di sini, kerja yang kami lakukan, kerja yang kerajaan AS dan rakan kongsi asing rapat kami lakukan," tambah Wray.


(FOTO AFP)

Pegawai di China menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu, menyifatkannya sebagai kempen fitnah terhadap Beijing.

Komuniti saintifik melihat ia adalah perkara penting untuk menentukan asal-usul wabak berbahaya itu sekali gus dalam memerangi dan mencegah wabak itu daripada terus menular dalam kalangan masyarakat global.-AFP

Media Baharu