MARYLAND, 22 Ogos - Ejen Biro Penyiasatan Persekutuan, (FBI) menggeledah rumah John Bolton, bekas penasihat kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sebagai sebahagian daripada siasatan keselamatan negara.
Rumah Bolton yang terletak di pinggir bandar Washington di Bethesda, Maryland, mula digeledah kira-kira pukul 7 pagi, waktu tempatan.
Arahan penggeledahan dikeluarkan Pengarah FBI, Kash Patel.
Dalam operasi itu, ejen FBI dilihat masuk dan keluar rumah, serta membawa kotak ke dalam rumah.
Jurucakap FBI mengesahkan "aktiviti yang dibenarkan mahkamah" di kawasan rumah Bolton.
Bolton berkhidmat sebagai penasihat keselamatan negara White House semasa penggal pertama Trump memegang jawatan Presiden.
Selepas dipecat pada 2019, beliau menjadi pengkritik tegar presiden Republikan itu, menggelarnya tidak layak untuk berkhidmat.
Bolton turut menulis buku kontroversi berhubung tempoh perkhidmatannya dalam pentadbiran pertama Trump.- REUTERS