GAZA, 23 Ogos - Sekurang-kurangnya 53 penduduk Palestin terbunuh manakala puluhan lagi cedera dalam serangan terbaharu tentera Israel di Gaza sejak awal pagi Jumaat.
Di selatan Gaza, seorang penduduk terbunuh dan beberapa cedera apabila khemah pelarian di Al-Mawasi, barat Khan Younis, diserang.
Tiga lagi maut di Jabalia, manakala seorang terbunuh ketika menunggu bantuan berhampiran Masjid al-Khalidi, Gaza utara.
Serangan artileri ke atas sebuah sekolah menempatkan ratusan pelarian di Sheikh Ridwan, Gaza City, pula meragut 18 nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak selain mencederakan puluhan yang lain.
Sementara itu, lima sekeluarga termasuk tiga kanak-kanak turut terbunuh apabila khemah perlindungan mereka di kawasan sama dibedil.
Mayat empat penduduk ditemui di bawah runtuhan rumah di Zeitoun dan Sabra, manakala serangan lain di Shati, Shujaiya, Tuffah dan Nuseirat terus menambah angka korban.
Sejak Oktober 2023, lebih 62,000 penduduk Palestin terbunuh akibat serangan Israel.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, serta bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan. -REUTERS